Tuesday, November 27, 2012

Bandar DiRaja Johor dihias indah

Muar diisytiharkan sebagai Bandar DiRaja oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 5 Februari lalu sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri Johor yang diadakan di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di bandar itu.

Ketika membuat perisytiharan itu, Sultan Johor meminta penduduk di bandar ini bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitarannya.

Titah baginda, tanggungjawab itu tidak boleh hanya dipikul sendirian oleh pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Pada majlis itu, Sultan Johor bertitah, sesungguhnya Allah menyukai kebersihan dan mengasihi mereka yang sentiasa mengutamakan kebersihan dalam kehidupan.

Walaupun menyedari sesetengah pihak menggelarkan Muar sebagai bandar pencen, baginda menyifatkan suasana bandar ini sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan.

Keistimewaan bandar ini yang terletak di muara Selat Melaka dan di tepi Sungai Muar mewujudkan pemandangan indah, selain banyak bangunan lama yang dibina sekitar 1920-an, menjadikan Sultan Johor sering berangkat mencemar duli ke bandar berkenaan.

Muar yang kini berusia lebih 100 tahun dibuka pada 1884, sebelum dinamakan sebagai Bandar Maharani oleh Sultan Abu Bakar pada 1895 sempena nama Maharani Fatimah yang kemudian dikenali sebagai Sultanah Fatimah.

Kini, 125 tahun selepas moyang baginda menamakan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani, Sultan Johor memberi pengiktirafan dengan mengisytiharkannya sebagai Bandar Diraja Johor.

No comments:

Post a Comment