Thursday, October 6, 2011

Berhati-hati individu menyamar penjawat awam mohon derma

JOHOR BAHARU: Orang ramai di bandar raya ini diminta berwaspada apabila dihubungi individu yang mendakwa dari agensi awam meminta derma, susulan beberapa kejadian penipuan menggunakan modus operandi sedemikian.

Ketua Pemuda MCA Johor Kua Song Tuck berkata pihaknya menerima lima aduan ditipu dengan cara itu setakat ini.

Mereka lazimnya menyamar sebagai penjawat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MPJBT), Jabatan Kesihatan dan Majlis Amal Cegah Jenayah, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kua berkata antara alasan mengutip derma ialah untuk mengadakan majlis malam amal dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Sementara itu, seorang mangsa Cindy Tan, 35, yang hadir pada sidang media tersebut mendakwa beliau kerugian RM5,350 apabila ditipu dua kali oleh sindiket berkenaan.

Pengusaha kilang plastik itu mendakwa kali pertama beliau dihubungi seorang wanita pada 26 Sept lepas yang mengaku dari MPJBT dan meminta derma berjumlah RM2,250 bagi pembelian lima unit kerusi roda.

"Saya hanya mampu menderma RM1,350 dan kakak saya kemudian menyerahkan wang terbabit kepada seorang wanita di sebuah bank di Taman Universiti," katanya.

Tan berkata empat hari kemudian beliau menerima satu lagi panggilan dari seorang lelaki mendakwa petugas MPJBT meminta derma RM8,000 bagi membeli set meja makan untuk kegunaan Hospital Permai, Tampoi.

Bagaimanapun Tan berkata beliau hanya mampu memberi RM4,000 sahaja dan wang terbabit diserahkan melalui kakaknya kepada seorang lelaki di bank yang sama pada hari yang sama.

"Saya kemudian menyedari telah ditipu pada pukul 8 malam hari yang sama sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti, tiga hari lalu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment